29 August 2011

MALAM AIDILFITRI

Keriangan anak-anak di malam raya....








27 August 2011

SALAM AIDILFITRI UNTUK SEMUA.......



Alhamdulillah sebulan sudah kita berpuasa, menahan lapar dan dahaga, menahan nafsu dan godaan syaitan.... Panjatkanlah kesyukuran kepadaNya kerana Allah memanjangkan usia, memeberi kesihatan tubuh badan dan yang penting akal fikiran untuk kita menjalani ibadah puasa disamping melipatkan gandakan ibadah kita...

Syawal yang menjelma sambutlah dengan penuh kesederhanaan dan ketakwaan mengikut sunnah Rasulullah....Teruskan mempertingkatkan amalan menjelang syawal...penuhi malam aidilfitri dengan memuji Allah ... Takbir, tasbih, tahlil dan tahmid....Bangun malam dan bermunajat dengan Allah kerana amalam di malam Aidilfitri , malam Aidiladha ,malam Nisfu Syaaban dan malam-malam tertentu juga tidak terbilang ganjarannya...Betulkan niat beribadat kerana untuk mendapat keberkatan Allah bukan kerana sempena malam-malam tertentu, InsyaAllah hanya Allah yang membalas ganjaranNya.....

SALAM AIDILFITRI MAAF ZAHIR BATIN UNTUK SEMUA..........

MENGANYAM KETUPAT LAGI.....












22 August 2011

MAJLIS PERPISAHAN PUAN KALTHOM - Tahniah Pn Kalthom ....

TAHNIAH KEPADA PUAN KALTHOM DAN EN SAKIB KERANA KENAIKAN PANGKAT SEBAGAI GURU BESAR.... JASA MU DIKENANG...








KENANGAN SETAHUN YANG LALU....

Cerita setahun yang lalu......Setelah dua minggu menyambut Ramadhan kami mendapat surat untuk beberapa urusan haji.......Mengambil beg, rantai tangan dan buku kesihatan..... Sungguh Ku rindu untuk menjejakkan kaki lagi ke Baitullah dan Nabawiah...Terlalu syahdu untuk diceritakan....

Dalam waktu hujan yang sangat lebat, angin bertiup kencang dan petir berdentum-dentum waaktu itulah Ku, hubby dan kedua ibu bapa berada di Pejabat Tabung Haji Batu Pahat.....MasyaAllah masih segar dalam ingatan.....Paling tidak dapat Ku lupa keadaan hubby yang tidak berapa stabil kerana dimasukkan ke hospital dan setelah di diagnosis penyakitnya yang tidak diketahui...Menjaga hubby berada di wad selama 4 hari dan kembali ke rumah dengan keadan tidak stabil juga membuat Ku kelu, menyambut Ramadhan seterusnya menyelesaikan urusan haji....

Sebenarnya cerita ini pernah ku tulis dalam N3 setahun yang lalu.... dan kini ia masih segar dalam ingatan......Bila terdengar-dengar ada sahabat yang akan ke Mekah hati ini ini menjadi sebak dan menggamit kenangan setahun yang lalu.....

16 August 2011

ESOK SUDAH 17 RAMADHAN....

Alhamdulillah Allah memanjangkan usia ku, suami, kedua ibu bapa dan anak-anak hingga ke hari ini dan seterusnya semoga Allah memanjangkan usia kami , kesihatan tubuh badan dan yang penting akal fikiran dan memberi peluang untuk ku menambah dan memperbaiki ibadah ku....

Dalam sedar atau tidak esok sudah menjelang 17 Ramadhan.... Sudah hampir habis fasa kedua dan memasuki fasa ketiga solat sunat terawih kita....Ini bermakna InsyaAllah 12 hari lagi kita akan menyambut Syawal.
Marilah kita semak amalan kita sepanjang Ramadhan ini dan seterusnya memperbaiki di bulan-bulan berikutnya.Muhasabah,senarai semak,check list atau apa sahaja supaya kita tergolong dalam kumpulan yang dirahmati Allah...

Dalam keadaan cuaca yang agak terik kini, ujian memang amat terasa.....Bagiku yang kerja separuh hari pun terasa letihnya, bagaimana pula mereka yang bekerja hingga ke petang dan bekerja sebagai buruh di bawah cahaya panas terik.... MasyaAllah... itulah yang dikatakan iman setipis kulit bawang...

15 August 2011

TIDAK TAKUT DENGAN HUKUM TUHAN....

"Cikgu, cikgu bau rokoklah cikgu.... kuatlah cikgu bau rokok... Siapa hisap rokok cikgu", kata si Firdaus yang agak banyak mulut tuh...

Ini memang kes berat... sakit hati tak terkata...Sebenarnya sepanjang Ramadhan ni dah beberapa kali ku terbau asap rokok di sekolah... Mula-mula tu biising juga mulut ku di Bilik Guru tuh...Pernah ku bertanya pada Kak Mas di sebelah meja ku..." Kak Mas saya ni mengigau ke memang betul2 ya... saya terbau asap rokok yang sangat kuat nih...", kata ku.Kata Kak Mas , " saya tak bau pulak Meha...". Hahhh Kak Mas tak bau. "Kak saya rasa ada orang hisap rokoklah... ni sama ada mahkluk yang boleh kita nampak atau makhluk yang kita tak boleh nampak..". "Ha ha...Eh awak ni macam2 lah Meha..."

Malas nak panjangkan cerita ku pun senyap...Hari ini entah hari yang ke berapa aku terbau yang sama... lalu ku bertanya dengan seorang guru pelatih... " Zati awak ada bau asap rokok tak "? Ada cikgu, pekerja 2 yang membuat binaan kat depan kelas 6 JT tuh hisap rokok kat belakang kelas.... kurang asam punya mahkluk....

Selepas rehat jam 1020 ku kelas 6 JT untuk matapelajaran M3... memang sah... Ehhh ramai pulak pekerja hari ini... Rupanya tarikh menyiapkan dewan hampir tamat jadi , ramailah pekerja pada hari ini....Semasa ku mengajar tu lah murid-murid 6 JT dok cerita "cikgu dia orang tak puasa lah cikgu....".Memang jahat sungguh depa tu... dah lah tak puasa, minum dan hisap rokok dibelakang bilik darjah disebalik tingkap kelas... dari dalam kelas pun boleh nampak bayang mereka...Ini memang depan mata ku... 6 JT ni kelas kelima sebenarnya... IQ agak rendah, so macam2 tafsiran yang mereka buat...

Dalam hati berdoa, Ya Allah Kau berilah balasan yang setimpal kepada mereka -mereka yang tidak takut hukum Allah ni....Dahlah tak malu, menunjuk-menunjuk pulak tuh....menghisap rokok tu sahaja usdah haram.... Inikan pula menghisap rokok di khalayak.... Kesian anak murid ku 6 JT... tak pasal2 kena tazkirah hanya kerana geramkan makhluk yang diluar kelas tuh... senang kata pukul anak sindir menantu lah...

Ku rasa tahun ni memang Ramadhan ku diuji dengan berbagai yang menakutkan yangmembuat kita berfikir bahawa memang tanda-tanda akhir zaman semakin hampir.... MasyaAllah takut sungguh....Ya Allah Kau tutuplah mataku dari melihat perkara-perkara yang membawa kepada dosa, Kau tutupkan mulutku dari berkata yang sia-sia dan membawa dosa, kau tutuplah pendengaran ku dari mendengar perkara-perkara yang membawa kepada dosa, Kau hentikanlah langkah ku dari melangkah ke arah yang membawa dosa....

13 August 2011

HALQAH QURAN PAGI AHAD...

Alhamdulillah dua hari cuti ni dapat duduk lama dengan anak dan buat halaqah Quran...
Bila hujung minggu semua balik dapatlah buat muzakarah tajwid... Syukur ...Huzaifah sahaja yang tak balik dan akan balik beberapa hari sebelum syawal....


Big boss my hubby dan anak dara 1....Quran yang terbentang tuh ku punya lah....


Bujang 3 , bujang 4 , anak dara 1 dan hubby.....


Bujang 1 dan bujang 5....



Anak dara 2....

Ha ha ramainya... Syukur dengan nikmat Allah... bujang 2 tak balik si Bongsu masih melingkar dalam selimut...maklumlah waktu ni 7.00 pagi....Pukul 4.30 pagi dah bangun untuk bersahur dan solat sunat...


11 August 2011

HAIRAN...HAIRAN....

HAIRAN.....HAIRAN.... MACAM MANA BOLEH JADI MACAM TU.... PONING KEPALA DEN MEMIKIRKAN.... BANYAK LAGI ILMU YANG PERLU DIPELAJARI.....TAK TERJANGKAU OLEH KU.....PERLU REHAT DAN TENANGKAN FIKIRAN......

10 August 2011

ORKID KU BERBUNGA LAGI


meriahhh berbunga lagi..... tak pasti apa nama orkid ni...DOMM ke apa gitu, memang besar saiznya.. sebesar tapak tangan... masa mula tanam doa dalam hati, harap2 berbungalah raya nanti.... tapi Syukur Ramahan sudah berbunga...kuntumnya banyak, jadi kena ikat , sebab berat takut patah tak tertampung batang tuh....



09 August 2011

KENAPA TIDAK BERSYUKUR.....


(gambar ihsan mr google)
ALHAMDULILLAH....... semalam PM Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengumumkan pemberian Bonus 2011 kepada 1.27 juta kakitangan awam.... Setengah bulan gaji dan minima RM 500 juga RM 500 kepada pesara....

Kemana-mana masih terdengar rungutan dan macam-macam bunyi yang kurang enak di dengar...Mungkin di mana sahaja orang memperkatakannya. Kadang-kadang rasa pelik dengan makhluk yang bernama manusia ni.... Apa taknya, diberi tidak diucapkan terima kasih, tidak diberi macam-macam katanya.... Sebenarnya walau apa pun pemberian seseorang itu walau sekecil buah kurma kalau kita bersyukur kita akan dapat rasai nikmatnya....


Syukurlah dengan nikmat Allah, tambahan pula bulan2 puasa ni....Janganlah merungut dan membuat andaian yang bukan-bukan.Allah tak suka. Kalau tak suka dengan rezeki yang kita dapat tu,tutup mulut jangan banyak cakap dan faraidkan duit tu kepada anak yatim... uhh besar ganjarannya.

Cerita tentang syukur ni, ku nak berceritalah sikit.... Harta ni kalau kita kejar, ia akan lari...Semakin kita kejar kalau kita tidak bersyukur semakin kita rasa kurang....Lain pula ceritanya dengan ibadah, semakin kita berusaha untuk menambahnya ia semakin mendekatkan diri dengan Allah dan semakin bertambah saham akhirat kita....

Ada beberapa orang kawan dan saudara ku yang sering mengesyorkan ku untuk belajar lagi, kononnya supaya gaji lebih besar tambahan pula katanya umur ku muda lagi...

ha ha...jawapan ku pasti mereka dah hafal...Alahhh... akak rasa akak syukur dengan nikmat Allah beri ni...Dengan 8 orang anak, nak kata hidup mewah tu tidaklah , nak kata duit tak cukup tu juga tidak... Cukup segalanya untuk makan pakai dan anak belajar...Rumah walau bukan banglo tetapi bolehlah untuk tempat berlindung dari hujan dan panas, tanah walau tidak luas InsyaAllah adalah untuk menambah sumber rezeki, kenderaan walau bukan semewah ALPHARD atau BMW tapi adalah dua buah kereta nasional, untuk melengkapkan Rukun Islam Kelima pun Allah dah beri peluang tersebut.....yang penting kita syukur dengan nikmat Tuhan.... memang sungguh itulah yang ku katakan apabila sering disarankan untuk belajar lagi.




Ku ingin memetik sedikit tulisan di dalam buku yang ku beli beberapa hari lalu yang berjudul : 365 TIP SIHAT GAYA RASULULLAH yang ditulis , dikaji dan diamalkan oleh DR MOHAMMAD ALI TOHA :-
- Allah memuji Nabi Nuh sebagai hamba yang tahu bersyukur. SYUKUR MENINGKATKAN KETENANGAN BATIN. Mensyukuri nikmat Allah dibuktikan dengan memperbanyakkan amal soleh. Nabi Muhammad sendiri membuktikan kesyukurannya dengan banyak beribadah dan membantu mereka yang lemah. Syukurilah nikmat kesihatan dan berdoalah, " Ya Allah berikanlah nikmat kesihatan, nikmat kehidupan supaya dapat aku mengerjakan lebih banyak lagi ketaatan kepadaMu. ini dengan mengisi hari-hari ku dengan menolong orang yang memerlukan pertolongan dan menjaga amanah sebagai khalifahMu. Sesungguhnya Engkau Maha Penyayang daripada segala Penyayang... "


08 August 2011

HILANGNYA SIFAT MALU.....


Pulang dari sekolah tadi singgah di sebuah Pasaraya milik orang kita. Sampai dan letak kereta terlihat pasangan remaja yang membeli minuman di sebuah gerai. Tiada langsung perasaan malu. Maklumlah jam baru menunjukkan pukul 2.15 petang… Musykil juga dalam hati, ya lah masih awal kalau untuk disimpan untuk berbuka nanti.Yang menjual tu pun satu juga tak ada perasaan malu juga kalau pukul 11 pagi sudah menjual minuman di tepi jalan. Kalau tidak bulan Ramadhan tidak pula mereka menjual minuman di kawasan tersebut. Agaknya di bulan Ramadhan ni rezeki menjual air pada waktu tersebut lebih berlipat ganda.Kalau untuk tujuan kepada pembeli bangsa asing kawasan yang ku nyatakan bukan kawan yang ada bangsa asing pun.

Masuk untuk membeli bahan dapur – keluar dari pasaraya tersebut tuh dia seorang lelaki , sihat walafiat, handsome dan bergaya berdiri disebelah pasaraya dengan menghisap rokok tanpa perasaan malu. Pada mulanya ku pun hampir terlupa bahawa waktu adalah bulan Ramadhan.Mana tak nya di tempat awam, suka-suka hisap rokok, dahlah tak puasa, tak tau malu langsung….Subhanallah. “ Eee bang ni bulan Ramadhan ke bukan….” Macam mengigau pulak ku…” Kenapa bu ?”… “ Tu Nampak tak sesuka jer hisap rokok …kalau ada kanak-kanak yang baru nak belaajar berpuasa seperti Si Bongsu ku pasti macam-macam dia tanya nya…Tu lah selalu kita terdengar di akhir-akhir zaman ni, macam-macam perangai manusia…Yang pasti tiada lagi perasaan malu. Ingat dulu zaman ku sekolah ustaz atau cikgu selalu kata MALU ITU SEBAHAGIAN DARI IMAN…dan sehingga sekarang ayat tu memang melekat di kepala .

Pernah ke kita merasa malu kepada Allah? Saya rasa, jawabannya antara “ya” dan “tidak”. Alasannya tentu berbagai-bagai. Tapi, biarlah “ya” dan “tidak” hanya hati kita yang menjawabnya dan Allah yang mengetahuinya.

Bila Allah memanggil dan menyeru ,kita tidak menyahut panggilanNya. Segala suruhanNya kita tidak penuhi. Segala yang dilarang kita langgari.Tanpa ada rasa malu kita tidak menyedari bahawa Allah lah yang menciptakan kita, menguasai nyawa kita dan member ruang untuk kita bernafas di bumi ini.

Suatu ketika, Nabi SAW berseru di hadapan para sahabatnya, “Wahai manusia, malulah kalian kepada Allah dengan sebenar-benar malu.” Seseorang bertanya, “Wahai Rasulullah, bukankah kami telah merasa malu kepada Allah dan sentiasa memuji-mujiNya?” Rasulullah kemudian menjawab, “Barangsiapa malu kepada Allah;

ia: [1] tidak akan tidur nyenyak di malam hari, kerana ajal selalu mengintai di hadapannya;

[2] akan menjaga perut dan isinya;

[3] memelihara kepala dan fikirannya;

[4] mengingat mati dan balasannya; dan

[5] meninggalkan kemegahan dunia.” (HR. Ibnu Majah).

Itulah hakikat malu menurut Baginda Rasulullah SAW. Bagaimana dengan malu yang ada dalam diri kita? Sudahkah seperti yang dianjurkan oleh Rasul SAW? Atau sebaliknya?

Tidak tidur nyenyak – Maksudnya bukan tidak tidak tidur langsung kerana tidur adalah keperluan hidup untuk kesihatan rohani dan jasmani. Cuma perlu ada diperuntukkan masa untuk bermunajat kepada Allah diwaktu orang lain sedang lena tidur. Bangunlah untuk solat sunat taubat, solat sunat hajat, tahajjud, istiharah , tasbih dan lain-lain solat sunat.

Menjaga perut dan isinya – perut adalah mesin utama bagi setiap manusia. Selalu dikatakan setiap penyakit berpunca dari perut.MasyaAllah …Hanya Allah yang mengetahui. Perut kita hendaklah dijaga bukan hanya makan sebarangan sahaja kerana kita sewajarnya memastikan halal atau haram sumber makanan yang masuk ke dalam perut kita. Sumber yang halal atau haram akan menentukan amal ibadah kita diterima oleh Allah atau sebaliknya. Malah bukan sahaja dari segi halal atau haram kita juga perlu ambil kira setiap makanan itu mengandungi zat untuk keperluan tubuh badan bukan asal makan sahaja.

Memelihara kepala dan isinya – Kita hendaklah sentiasa memikirkan kebaikan. Perkara utama kita hendaklah memikirkan tentang kehidupan kita yang hanya pinjaman dari Allah di dunia ini.Berfikirlah dengan sebaiknya tentang suruhan Allah dan larangan Allah. Banyak sumber yang kita boleh dapati terutama Al Quran,Kitab Hadith , Alim Ulama’ , Guru yang Mursyid dan bahan bacaan. Jangan sesekali berperasangka buruk, hasad, dengki, iri dan cemburu kerana ia juga punca penyakit didalam badan.Berfikir dengan baik dan positif dan sentiasa berusaha untuk mendapat keredhaan Allah. Sentiasa berdoa dan mengharapkan keberkatan dari Allah dan bersangka baik dengan Allah.Allah akan sentiasa mendengar rintihan dan permohonan dari hambaNya.

Mengingati kematian – Firman Allah dalam Surah al-Jumu’ah, ayat 8 bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): “Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)”. Kita sewajarnya sentiasa mengintai kematian dan balasan-balasan Allah di atas amal perbuatan kita kerana dengan ini akan menambahkan lagi takut kita kepada Allah dan ketakwaan kepadaNya.

Meninggalkan kemegahan dunia – Meninggalkan kemegahan dunia bukan bermaksud meningglkan kenikmatannya.Nikmat dunia ini sememangnya diciptakan kepada manusia.Hanya terpulang kepada manusia itu untuk mengahrgai nikmat yang Allah berikan ini dengan sentiasa bersyukur tidak bermegah-megah dan bermewah-mewah.Kita hendaklah sentiasa mengigati Allah dengan menunaikan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya. Yakin dengan kalimah Toyyibah, sembahyang awal waktu,quran dan zikir, ikram muslimin, ikhlas niat dan dakwah . Janganlah kita lalai dan tidak berasa malu dengan Allah atas segala nikmat yang dikurniakan.

Sesungguhnya apa yang ku tuliskan ini hanya untuk mengingatkan diri sendiri…..Dosa , pahala, syurga , neraka, azab kubur, nikmat dunia, nikmat ketengan , nikmat bahagia hanya dari Allah semata-mata…..

06 August 2011

BUKU BARU KU HARI INI....

Bulan ni belum faraidkan duit ke kedai Buku.... Hari ini saja bawa anak jalan-jalan ke kedai Buku Popular di BP Mall... Konon nak shopping kasut untuk anak dara 1 dan anak dara 2.... tapi tak ada offer, so bawalah dia orang ke kedai Buku..Keluarlah juga RM 88 . Adik si kecil pun beli buku cerita tentang Ramadhan....Dan me juga memang kemaruk bila masuk kedai buku ni... kalau tak berbajet memang ratus ringgit habisnya....




Buku ini memang sangat baik dan perlu dimilki oleh kita.... mashail yang nampak kecil dalam bersolat tapi penuh dengan hukum....Bahasa yang mudah.... Dan jangan terkejut kerana banyak kesalahan yang dinyatakan memang kadang ada dilakukan terutama di masjid....


Tiada ubat yang lebih mujarab selain dari doa..... Ini adalah koleksi santapan rohani ku...Ada sebuah buku yang telah ku beli setahun yang lalu juga sangat bagus dan menjadi penemanku semasa di Mekah... nanti ya Ku upload pada N3 yang akan datang InsyaAllah....



Juga buku baru ku hari ini.... baru sempat selak2 mukasurat sahaja....

Dan sebuah novel Baru Ku oleh Aisya Sofea salah seorang penulis kegemaran ku juga ku borong hari ini....Bukan tak nak upload gambar... seganlah pulak sebab bulan puasa ni kan.... Dan dah berazam nak tutup novel sepanjang Ramadhan ni , beli boleh....

04 August 2011

CERITA KU - RAMADHAN KE EMPAT...







Tiga hari lepas selepas pulang dari solat terawih hubby tanya " Bu boleh tak tolong masak tomyam untuk 60 orang ".
" Nak makan bila bang bulan2 puasa ni....". " Makan lepas terawih lah bu.... Ada tetamu dari Pejabat Daerah dan Pejabat Agama ...".
" Ramai tu bang.... macam mana nak masak tomyam banyak2 gitu puasa2 ni.... lagipun seganlah..nanti masak banyak tak kau kau...."
" Lah masak jer lah macam selalu bu masak untuk jemaah masjid lima waktu tu..."
" Ok lah ,tapi abang tolong tau.... "

Apa lagi hari ni balik dari sekolah tak sempat rehat terus pulun siang udang 4 kilo dan basuh ayam 5 ekor....Baik hubby tolong kecilkan ayam2 tu....siang sayur dan semua yang berkaitan dengannya.....selepas berbuka dan solat maghrib Ku pun mula ayun langkah.....lepas maghrib hubby balik dan menolong lagi dan pergi semula ke masjid untuk solat isyak dan terawih.

Sedang Ku memasak, terdengar hubby dah balik semula " bu bu....orang ramailah bu dekat 200 orang....macam mana ni, cukup tak ".....

"Haaa.... 200 orang, biar betul abang ni.....200 orang ramai tuh.... macam mana ni , tak tau bu..."
Ada ke patut kata masak untuk 60 orang jadi 200 orang poning kepala den....
" tambahlah apa yang patut bu...." . aduh nak tambah apa nya bang.... haaa cepat siang-siang yang patut.. dengar kat masjid dah mula terawih tu....Akmal tolong blenderkan cili tu..."

Baiklah masak dalam periuk besar tadi.... sebab sayang bawa periuk masuk dalam kereta nanti tumpah....dan akhirnya tomyam ku cukup untuk 200 orang makan....siap periuk tuh ke masjid Ku pun terlepek kepenatan.....

Sedar2 hubby dah balik dari masjid.... "Huuhhh bu.... tomyam ibu memang kaw kaw, ramai orang puji sedap.... tapi dia orang kata pedas giler.... " Pedas ke bang tadi macam ok jer... " " "Pedas tapi sedap....." kata hubby . Aku pun tercari-cari mana baki cili Ku .... Hah ! habis satu beg plastik....patutlah pedas giler 1 kg cili api habis semua....rupanya baki cili tu Akmal blender habis dan curah dalam periuk.....Ha ha.... ini namanya mencili orang bukan menjamu orang ....

03 August 2011

02 August 2011

DUA RAMADHAN - MELAYAN SI BONGSU 5 TAHUN BERPUASA...


Si Bongsu belajar berpuasa... kita beritahu kat Si Bongsu, " dik dulu abang dan kakak umur 5 tahun dah puasa tau...adik nak puasa tak "? " Adik nak puasa juga "... so hari ini dah dua hari Si Bongsu berpuasa... Janji dengan dia , "kalau adik puasa penuh hari ini nanti ibu bawa adik beli kasut baru"... yang sememangnya nak belikan kasut sebab kasut lamanya dah sempit...

Window shopping dengan hubby dan si bongsu, Pukul 6 petang baru sampai rumah...Nak masak apa untuk anak2 ni tak terfikir apa lagi....hubby tanya " nak masak apa bu "... " entahlah bang dah petang ni, blurrrr tak tau nak masak apa....". he he sudahnya jadilah Meehailam Cincai dan Sandwich Gopoh he he.... Tapi anak2 kata " sedapnya ibu masak hari ini". Ha ha...Sedap saja depa ni... tak tau ibu dengan abah dia dok lompat2 kat dapur nak siapkan masak sebelum jam tujuh....



Ini Meehailam Cincai....



Sandwich dengan mayonis....


Tuh dia mayonis produk Felda - Saji... Tahniah Saji kerana banyak produk nya kini bukan sahaja Minyak Saji yang kita tahu sekian lama....

SATU RAMADHAN DAN BIRTHDAY HASIF MUSA...






Alhamdulillah , Ramadhan telah kembali menemui kita....Syukur kerana Allah memanjangkan usia untuk menyambut Ramadhan Karim dan marilah kita memeriahkannya dengan Pesta Ibadah...

Alhamdulillah malam pertama dapatlah menunaikan solat sunat terawih dengan anak dara 1 dan anak dara 2 di rumah... hajat nak bersolat jemaah di masjid tapi memandangkan hubby keluar nisab 3 harinya, maka kami 3 beranak buatlah yang termampu di rumah berjemaah....

Kebetulan hari ini adalah hari pertama menyambut puasa bagi umat Islam di Malaysia, begitu juga dengan kami sekeluarga terutama my bongsu yang berusia 5 tahun... Uhhh macam2 janji yang ditabur untuk melatihnya puasa sampai ke petang....tambahan pula
semua anak ada dirumah dan hari ini merupakan birthday Hasif Musa....



Muhammad Hasif Musa yang berumur 8 tahun hari ini....


kekanda , adinda turut sama potong kek tuh....


So menu utama kami pada hari ini adalah MEE TEOW GORENG DAN ABC ROCK.....